JOHOR BAHRU: Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) yang menjalankan aktiviti utama berkelompok buah tandan segar (BTS) menerusi 65 pusat timbang di seluruh negara telah mencapai jumlah jualan sebanyak 82,612.37 tan setakat 31 Mac lepas.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan pekebun kecil menerusi pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP).

“Kerajaan telah menubuhkan KPSM untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran BTS lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan pendapatan serta pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang giat berusaha meneruskan aktiviti Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di seluruh negara melalui program latihan, taklimat dan promosi bagi sektor pekebun kecil sekali gus meringankan beban mereka.

Kementerian turut menyediakan bantuan seperti Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), selain Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40).

“Sehingga 31 Mac lalu, jumlah keluasan kebun yang diusahakan pekebun kecil persendirian di Johor adalah 159,487 hektar. Daripada jumlah itu, 44,824 pekebun kecil yang mengusahakan keluasan 118,092 hektar sudah memperoleh MSPO bersamaan 74 peratus daripada keluasan kawasan tanaman sawit.

“Dengan adanya pelbagai insentif disediakan oleh kementerian yang memberi tumpuan kepada pembangunan pekebun kecil tanaman sawit, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image