SEOUL: Korea Selatan dijangkakan mencatat defisit perdagangan yang mencecah paras tertinggi kepada hampir US$50 bilion tahun ini, susulan peningkatan kos tenaga global, lapor Yonhap, memetik sebuah badan pemikir swasta pada Ahad.

Defisit perdagangan negara mungkin mencecah sekitar US$48 bilion tahun ini, kekurangan terbesar sejak data perdagangan yang berkaitan dikumpul pada 1964, menurut laporan Institut Penyelidikan Ekonomi Korea (KERI).

Anggaran defisit itu lebih daripada dua kali ganda defisit perdagangan US$20.6 bilion yang dicatatkan pada 1996, sejurus sebelum negara dilanda krisis kewangan Asia 1997-98.

Korea Selatan mencatat defisit perdagangan bagi bulan keenam berturut-turut pada September apabila pertumbuhan eksport menyusut, di tengah-tengah kelembapan global dan perbelanjaan import meningkat disebabkan peningkatan kos bahan api. Negara itu mencatat defisit perdagangan sebanyak US$3.77 bilion bulan lepas.

KERI, cabang penyelidikan konglomerat Persekutuan Industri Korea, menganggarkan defisit perdagangan negara itu akan mencecah US$37.5 bilion pada separuh kedua, dan terus meningkat kepada US$48 bilion untuk tempoh sepanjang tahun.

Penyusutan mendadak mata wang tempatan berbanding dolar US, turut mendorong kenaikan harga import. Won merosot sekitar 17 peratus berbanding dolar US setakat tahun ini, di tengah-tengah langkah pengetatan monetari agresif oleh Rizab Persekutuan.

Mata wang won yang lebih lemah lazimnya menjadikan eksport negara lebih murah, meningkatkan daya saing harganya. Namun penyusutan nilai won baru-baru ini berlaku serentak dengan penurunan mendadak mata wang utama pesaingnya, kecuali dolar yang terus kukuh.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image