SEOUL: Polis telah merujuk syarikat penyiaran di Korea Selatan, KBS serta tiga kru penerbitan kepada pihak pendakwaan untuk siasatan lanjut dan mungkin berdepan dakwaan atas tuduhan penderaan haiwan berkaitan kematian seekor kuda semasa penerbitan program televisyen.

Rangkaian penyiaran itu mendapat kecaman selepas klip video yang disiarkan pada tahun lalu yang menunjukkan seekor kuda yang diikat kakinya tersandung ketika berlari sebelum tersembam ke tanah, semasa penggambaran drama bersiri “The King of Tears, Lee Bang-won” yang ditayangkan antara tahun 2021-2022, lapor Yonhap.

Kuda itu dilaporkan mati kira-kira seminggu selepas kejadian dan haiwan tersebut dikatakan tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Pegawai polis berkata KBS serta tiga kru produksi rancangan itu diserahkan kepada pihak pendakwaan minggu lalu dan kemungkinan akan didakwa atas kesalahan penderaan haiwan.

Penyiar itu telah pun mengemukakan permohonan maaf atas insiden berkenaan dan menerima pakai garis panduan penerbitan untuk memastikan kebajikan serta keselamatan haiwan yang digunakan bagi tujuan penggambaran. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image