MIRI: Lima lelaki warga tempatan berumur antara 19 hingga 50 tahun ditahan kerana dipercayai cuba menyeleweng 1,693 liter diesel bersubsidi bernilai RM3,639.95 di Morsjaya di sini semalam.

Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri Joe Azmi Jamil dalam satu kenyataan hari ini berkata kelima-lima lelaki itu ditahan dalam satu serbuan Op Bersepadu KPDNHEP bersama Batalion 12 Pasukan Gerakan Am Miri kira-kira pukul 10.30 pagi.

Empat kenderaan pacuan empat roda dianggarkan bernilai RM207,000 yang telah diubah suai dengan tangki tambahan yang diletakkan pada ruang belakang setiap kenderaan terbabit untuk kegiatan penyelewengan itu turut dirampas.

“Kelima-lima yang ditahan gagal untuk mengemukakan permit khas daripada KPDNHEP untuk menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu diesel bersubsidi tanpa kebenaran dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Joe Azmi berkata stesen minyak yang terbabit dalam kegiatan itu telah digantung operasinya serta-merta sehingga siasatan di bawah Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 sama ada stesen itu telah melanggar syarat khas lesen, selesai.

Mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sesebuah syarikat yang disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terlibat atau bersubahat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.

Mereka boleh menyalurkan maklumat berkenaan salah laku perkara ini kepada pihak KPDNHEP melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000; Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my; pusat panggilan 1-800-886-800; e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my; Ez ADU KPDNHEP; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) atau menerusi talian 03-8882 6088/ 6245.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image