KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang untuk menubuhkan sebuah lagi tempat penginapan sementara Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di sini, kata menterinya Datuk Seri Nancy Shukri (gambar).

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata fasiliti dan keadaan bangunan Anjung Kasih di Kuching yang terletak di Hospital Umum Sarawak sudah lama serta memerlukan lebih banyak ruang, terutamanya kepada individu yang tinggal jauh dari Kuching dan mahu mendapatkan rawatan kanser di hospital berkenaan.

“Kita memerlukan lebih daripada satu Anjung Kasih yang mempunyai fasiliti baharu. Oleh itu, saya sarankan pihak hospital untuk cadangkan lokasi yang sesuai di sini dan pihak kementerian akan proses bagi mendapatkan peruntukan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Anjung Kasih YKN di sini, hari ini.

Anjung Kasih YKN yang diuruskan oleh hospital kerajaan, merupakan tempat penginapan sementara secara percuma untuk golongan yang memerlukan, khususnya ahli keluarga yang kurang berkemampuan tetapi perlu mengiringi pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Nancy seterusnya meminta lebih banyak lagi syarikat tampil untuk menyumbang kepada Anjung Kasih menerusi YKN.

Setakat hari ini 85,596 keluarga pesakit telah menggunakan perkhidmatan Anjung Kasih yang disediakan di 18 buah hospital kerajaan seluruh negara, dan di Sarawak selain daripada Hospital Umum Sarawak di sini, dua lagi Anjung Kasih adalah di Hospital Miri dan Hospital Sibu. -Bernama