KOTA BHARU: Kelantan United FC (KUFC) sah mendapatkan khidmat pemain import dari Senegal, Morgaro Lima Gomis (gambar) bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan itu menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Ketua Pegawai Operasi KUFC Wan Mohd Zul Ikman berkata pemain tengah berusia 37 tahun itu, menandatangani kontrak selama semusim bersama KUFC, hari ini.

“Dia (Gomis) tidak asing dengan peminat bola sepak Kelantan, kerana mempunyai pengalaman beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) selama tiga musim bersama pasukan Kelantan The Red Warriors (TRW) bermula 2016 sehingga 2018.

“Ia kepulangan kedua Gomis ke Kota Bharu, kami bangga untuk mengumumkan import kesayangan ramai penyokong Kelantan ini, menyertai KUFC musim ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zul menyifatkan Gomis seorang pemain mempunyai kebolehan yang baik menggemudi bahagian tengah, selain memiliki kelebihan ketika bertahan.

“Gomis akan memberi kelebihan kepada pasukan apabila berada di saat getir ketika diasak pemain lawan.

“Dia mempunyai cukup minit perlawanan apabila telah membuat lebih 50 penampilan bersama pasukan Clyde FC dalam Liga Scotland, musim lepas,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image