JEDDAH: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) ke Arab Saudi dijangka dapat mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan negara Timur Tengah itu, di samping meneroka kerjasama dua hala yang baharu.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata dalam lawatan tiga hari tersebut, perdana menteri dijadual menghadap Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga merupakan Perdana Menteri Arab Saudi.

“Pertemuan ini akan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin berkenaan membincangkan isu dan kerjasama dua hala yang berkepentingan, di samping meneroka peluang kerjasama baharu bagi memperkasakan jalinan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anwar dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz pada 6.40 pagi waktu tempatan (11.40 pagi waktu Malaysia) diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Ini merupakan lawatan rasmi ke negara luar ASEAN pertama buat Anwar dan juga lawatan pertamanya ke Arab Saudi sejak menyandang jawatan perdana menteri pada 24 Nov tahun lepas.

Semasa lawatan ini juga, menurut Wan Zaidi, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa.

Beliau berkata Perdana Menteri juga dijadual mengadakan lawatan ke Bank Pembangunan Islam di sini dan menyampaikan ucaptama semasa lawatan tersebut.

“Pertemuan-pertemuan ini akan menjadi satu platform bagi Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin berkenaan membincangkan pelbagai isu-isu berkepentingan yang melibatkan Malaysia.

“Pertemuan ini merupakan satu wahana bagi Perdana Menteri untuk menerokai peluang ekonomi yang boleh diceburi oleh ahli perniagaan Malaysia di Arab Saudi serta bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata beberapa memorandum persefahaman dijangka ditandatangani melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan kedua-dua negara dan pihak swasta, selain Anwar akan turut mengambil peluang beramah mesra dengan rakyat Malaysia di Jeddah.

“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi, yang dibina berasaskan kepercayaan dan perkongsian bersama.

“Hubungan simbiotik ini telah memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara daripada kerjasama yang dilaksanakan dalam pelbagai sektor,” katanya.

Wan Zaidi berkata pada 2022, Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah RM45.52 bilion (USD10.26 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, jumlah eksport ke Arab Saudi meningkat sebanyak 43.8 peratus untuk tempoh sama berjumlah RM7.28 bilion (USD1.66 bilion), manakala jumlah import daripada Arab Saudi mencatatkan peningkatan sebanyak 205.8 peratus berjumlah RM38.24 bilion (USD8.60 bilion). -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image