Lelaki cedera ditoreh pisau kerana mengadu ke SPRM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan ditahan polis tengah malam tadi selepas dipercayai mencederakan individu yang membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atasnya.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai(gambar) berkata mangsa, lelaki warga tempatan berusia 42 tahun luka di pergelangan tangan kiri dengan kedalaman tiga sentimeter selepas ditoreh pisau oleh suspek yang dikenalinya, pada 4 petang semalam di Jalan Ipoh, di sini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek berusia 36 tahun yang tidak berpuas hati dengan aduan dibuat mangsa berhubung kesalahan penyelewengan wang kepada SPRM terhadapnya.

“Sewaktu pertelingkahan, lelaki itu bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan sebilah pisau. Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan dan perlu menjalani pembedahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata lelaki itu berjaya ditahan tiga jam selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 9.17 malam semalam.

“Suspek mempunyai tiga rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda merbahaya). Dia akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Beh meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image