Lelaki ditahan disyaki ragut rantai emas warga asing

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki meragut rantai emas seorang wanita warga asing dalam kejadian pada 4 petang di tepi Jalan Kuchai Maju 10, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfield, ACP Amihizam Abdul Shukor(gambar)berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 10.15 malam hari yang sama.

Beliau berkata ketika kejadian wanita warga asing berumur 31 tahun itu sedang berjalan berseorangan dan telah didatangi oleh suspek dari arah belakang dan terus meragut rantai emas yang dipakainya.

“Semasa tangkapan dibuat, polis turut membuat rampasan barang yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah iaitu sepasang pakaian, sebuah beg Grab Food, satu telefon bimbit dan motosikal jenis Yamaha NVX berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata siasatan awal polis mendapati lelaki itu mengaku meragut rantai emas milik wanita itu dan telah menjual rantai tersebut di kedai pajak gadai di kawasan Bandar Sri Permaisuri dengan nilai pajakan RM600.

Katanya suspek telah ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image