KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) antara syarikat yang telah mengemukakan dokumen sebut harga berkaitan perolehan perkhidmatan sebagai operator Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.

Pegawai Tadbir Keselamatan Kanan di Lembaga Pelabuhan Bintulu, Dzulkarnain Abbas Abdullah, 43, berkata syarikat LLPM telah dikodkan sebagai penyebut harga dan segala laporan serta dokumen (sebut harga) itu kemudiannya diserahkan kepada jawatankuasa penilaian untuk proses selanjutnya.

“Bagaimanapun, saya tidak terlibat dalam proses selanjutnya itu dan tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) berkaitan nombor kod syarikat-syarikat yang menyertai tender sebut harga ini. Saya juga ada membuat rekod dan laporan jawatankuasa peti tender serta membuat kod pada setiap dokumen syarikat yang diterima,“ katanya.

Dzulkarnain Abbas berkata selain LLPM, syarikat lain yang turut mengemukakan dokumen sebut harga itu adalah Jasib Shipyard & Engineering (M) Sdn Bhd; Bintulu Port Sdn Bhd; LP Multi Terminal Sdn Bhd; Sarasutra Holdings Sdn Bhd; Johor Port Berhad dan Sabah Port Sdn Bhd.

“Saya dan ahli jawatankuasa tidak pernah berurusan dengan wakil-wakil syarikat yang menghantar dokumen (sebut harga) ini. Pihak kami hanya membuka peti tawaran itu pada 25 Julai 2017 dan membuat laporan pembukaan peti sebut harga tersebut,“ katanya.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Pada prosiding sebelum ini, Pengurus Keselamatan LLPM, Mohamad Kasli Sulaiman Darja, 56, memaklumkan kepada mahkamah, bapa dan adik Rozman iaitu Isli Siput @ Ali serta Tony Noolan adalah antara pemegang saham LLPM.

Dzulkarnain Abbas, yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembuka Peti Sebut Harga pada 25 Julai 2017 berkata antara tugas jawatankuasa itu adalah membuka peti tawaran pada tarikh dan waktu ditetapkan, merekod nama syarikat selepas dokumen sebut harga diterima, memberi kod kepada dokumen tersebut serta mengemukakan laporan jawatankuasa peti tender dan dokumen tersebut kepada jawatankuasa penilaian untuk proses seterusnya.

Dzulkarnain Abbas kemudian mengesahkan salinan jadual sebut harga bertajuk ‘Submission Requirements For Operation and Facility Management of Labuan Liberty Terminal in FT Labuan’ bertarikh 25 Julai 2017 selepas dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi.

Rozman, 57, dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 13 Dis ini.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image