KUALA LUMPUR: Malaysia dan Qatar meletakkan matlamat untuk membawa hubungan dua hala mereka ke peringkat yang lebih tinggi melalui kerjasama dalam bidang baharu seperti kewangan Islam dan ekonomi digital.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata memandangkan perdagangan antarabangsa yang semakin kompleks dari hari ke hari, kedua-dua pihak perlu memikirkan cara baharu untuk melakukan sesuatu selain hubungan dua hala biasa.

Saifuddin berkata demikian semasa sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri Qatar yang juga Menteri Luar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, yang berada dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai Khamis (11 Ogos), di Wisma Putra (Kementerian Luar Malaysia) di sini.

Saifuddin berkata hubungan perdagangan sedia ada antara Malaysia dan Qatar adalah sangat baik dan kedua-dua pihak kekal komited untuk meningkatkan hubungan itu dengan pelaburan dan aktiviti baharu.

Sebagai contoh, beliau menyebut Baladna, pengeluar tenusu Qatar, telah menjalin kerjasama dengan Malaysia melalui FGV Integrated Farming Sdn Bhd yang akan menyaksikan pembangunan perniagaan penternakan tenusu terbesar di rantau ini dengan dua tapak telah dikenal pasti, di Perlis dan Pahang.

Menurut Wisma Putra, dalam kalangan negara Asia Barat Qatar adalah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia, destinasi eksport dan sumber import. Jumlah dagangan Malaysia-Qatar pada 2021 bernilai RM2.63 bilion (US$634.2 juta).

Sementara itu, Sheikh Mohammed berkata beliau gembira melihat kadar pertumbuhan perdagangan dua hala dan pelaburan kedua-dua negara, sambil menambah bahawa Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar dan syarikat swasta Qatar melihat ekonomi Malaysia sebagai memberangsangkan.

Beliau berkata Qatar juga mengalu-alukan perjanjian yang ditandatangani oleh syarikat Qatar baru-baru ini untuk mengukuhkan kehadiran mereka di sini, sambil menjemput syarikat Malaysia untuk mengendali dan menggunakan kemudahan dan infrastruktur Qatar sebagai hab bagi mereka di rantau itu.

Mengenai hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, Sheikh Mohammed berkata lebih banyak yang boleh dilakukan bagi mencapai aspirasi kepimpinan Qatar.

Timbalan Perdana Menteri berkata kedua-dua Malaysia dan Qatar bersetuju bekerjasama untuk memberikan bantuan kemanusiaan di zon konflik seperti Palestin dan Afghanistan.

Beliau berharap Taliban yang memerintah Afghanistan akan menyediakan akses kepada pendidikan untuk semua orang tanpa membezakan gender.

“Keadaan di Afghanistan membimbangkan kami dan kami sangat kecewa dengan beberapa langkah yang diambil ke atas gadis dan wanita Afghanistan, dan kami berharap kerajaan sementara Taliban akan mengubah langkah itu dan memberi akses pendidikan kepada semua orang,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image