Majlis Tertinggi PN bermesyuarat esok tentukan calon MB Johor: Hamzah

PAGOH: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat esok untuk menentukan calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin(gambar).

Beliau berkata beberapa calon bagi jawatan itu telah dikenal pasti setakat ini dan akan diumum tidak lama lagi.

“Kita akan bermesyuarat esok dan selepas itu barulah kita akan pastikan siapa yang lebih baik untuk kita ketengahkan sebagai calon Menteri Besar,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri selepas melakukan tinjauan mesra di pekan Pagoh hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan kepada media lokasi dan waktu mesyuarat diadakan.

Ahli Parlimen Larut itu berkata terdapat kriteria tertentu bagi memilih seorang Menteri Besar antaranya kebolehan mengurus kerajaan negeri, mempunyai pengalaman serta mementingkan integriti.

Ditanya sama ada calon berkenaan adalah daripada Bersatu, beliau berkata perkara tersebut akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN.

Mengulas mengenai perjalanan kempen PN yang memasuki hari ketujuh hari ini, Hamzah yang juga Pengarah PRN Johor bagi PN berkata semuanya berjalan lancar dan berharap semua pihak akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image