Malaysia harap China terus ambil kira kepentingan negara jiran: PM

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap China sebagai pemain berpengaruh dalam arena antarabangsa akan terus mengambil kira kepentingan negara jiran dan rakan kongsinya dalam pembangunan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selama ini pun China sememangnya telah memberikan sokongan kepada negara-negara lain termasuk Malaysia ketika dalam keadaan sukar terutama ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

Menurutnya, pada awal penularan Covid-19, China memberikan sumbangan sarung tangan, alat pelindung diri (PPE) selain akses awal kepada vaksin miliknya serta memberikan bantuan ketika banjir besar yang melanda Malaysia pada akhir 2021 dan awal 2022.

“Saya memberikan komitmen bukan sahaja untuk memperkukuh hubungan dua hala bersama China, tetapi juga menyatakan kesediaan memainkan peranan aktif bagi mempromosikan kestabilan di peringkat serantau,“ katanya.

Teks ucapan Perdana Menteri itu dibacakan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun ke-48 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Seri Kembangan, dekat sini malam ini.

Perdana Menteri turut menegaskan Malaysia harus bekerjasama dengan negara-negara yang berkongsi matlamat sama untuk memastikan sejarah rantau ini akan terus ke arah keamanan dan kemakmuran.

Ismail Sabri juga berkata China menjadi negara rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009 dan ini disebabkan kedudukannya sebagai sebuah negara kuasa besar ekonomi.

Beliau berkata hubungan dagang antara Malaysia-China telah berkembang pada purata sebanyak 16 peratus sepanjang dua tahun lepas dengan jumlah nilai perdagangan antara kedua-dua negara telah melebihi RM421 bilion.

“Hubungan ekonomi antara dua negara ini turut memberikan peluang lebih besar kepada pembangunan Keluarga Malaysia dalam aspek kemahiran dan pengalaman selain menawarkan manfaat kewangan kepada Malaysia.

Hubungan Malaysia-China bukan hanya kepentingan ekonomi semata-mata tetapi juga aspek pendidikan, teknologi, kesihatan atau kerjasama penguatkuasaan undang-undang yang mempunyai kepentingan bersama,“ katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Duta Khas Perdana Menteri ke China, merangkap Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China Datuk Seri Tiong King Sing dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing serta beberapa Menteri Kabinet.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image