Malaysia harap dapat kekal kerusi dalam Majlis ICAO bagi penggal keenam berturut-turut

SEPANG: Malaysia berharap dapat mengekalkan kerusi dalam Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selepas rekod prestasi 15 tahun, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong(gambar).

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu bekerja keras untuk dua bulan akan datang kerana Malaysia sedang berusaha untuk pemilihan semula bagi penggal keenam berturut-turut dalam Majlis ICAO bagi penggal 2022-2025.

“Sebagai ahli majlis yang bertanggungjawab dan komited selama lima penggal sejak 2007, Malaysia sentiasa menjadi penyumbang teladan kepada pertumbuhan dan pembangunan antarabangsa penerbangan awam,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu beliau menghadiri majlis penjenamaan semula Batik Air selepas 10 tahun dikenali sebagai Malindo Air dan pelancaran B737-8 bagi menandakan permulaan transformasinya.

Oleh itu, Wee menggesa pengendali penerbangan supaya terus mematuhi piawaian peraturan seperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan ICAO.

“Kita mesti konsisten mempamerkan komitmen kita untuk memastikan standard keselamatan yang paling ketat dan meletakkan penumpang dan anak kapal sebagai keutamaan kami,“ katanya.

Malaysia, sebagai ahli ICAO sejak 1958, pertama kali dipilih ke majlis itu pada 2007 dan dipilih semula untuk penggal kelima berturut-turut pada 2019.

Wee berkata Malaysia akan menghadiri Perhimpunan Tritahunan ke-41 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang akan diadakan di Kanada dari 27 Sept hingga 13 Okt.

Beliau berkata Malaysia telah bekerja keras untuk mendapatkan sokongan negara lain dan komited memandangkan industri penerbangan Malaysia telah mengekalkan standard yang tinggi dan menyokong inisiatif ICAO, iaitu Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) dan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF).

Wee berkata Malaysia Airlines melancarkan penerbangan pertama bahan api mampan (SAF) bulan lepas adalah permulaan yang baik dan memandangkan kos SAF adalah tiga kali lebih tinggi daripada bahan api namun kaedah itu diambil memandangkan bekalan bahan api fosil akan berkurangan di masa hadapan, dan menambah bahawa kos SAF itu dibincangkan seluruh dunia sama ada ia boleh diturunkan.

“Malaysia ada banyak feedstock, banyak lagi biomas yang boleh diterokai. Bagi saya ia satu permulaan yang baik sebagai negara yang menganggotai Majlis ICAO kita telah mengambil inisiatif untuk memulakan satu perkara yang memang dilihat dunia. Inisiatif ICAO perlu diambil lebih serius lagi. Di Malaysia banyak lagi potensi kita boleh bangunkan,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image