PUTRAJAYA: Malaysia berharap lebih ramai negara anggota Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyokong resolusi “Sains Tingkah Laku Untuk Kesihatan Yang Lebih Baik” atau Behavioral Science for Better Health yang dibawa negara ini semasa persidangan ke-152 di Geneva, Switzerland pada 3 Feb lepas.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, yang diberi penghormatan mempengerusikan mesyuarat itu selepas dilantik sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO mewakili rantau Pasifik Barat 2023-2024, berkata beberapa anggota Lembaga Eksekutif WHO seperti Qatar, Maldives dan Jepun telah memberi persetujuan untuk menyokong resolusi tersebut.

Beliau berkata apabila resolusi itu diterima Lembaga Eksekutif WHO, ia akan membolehkan resolusi itu dibawa ke peringkat lebih tinggi iaitu Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) yang akan berlangsung pada Mei di Geneva

“Sekiranya resolusi itu diterima dan seterusnya menjadi item utama dalam WHO, ia merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia dalam ruang lingkup kesihatan global,” katanya dalam temu bual bersama media di sini.

Mengupas mengenai resolusi “Sains Tingkah Laku Untuk Kesihatan Yang Lebih Baik” itu, Dr Zaliha berkata ia berkaitan tingkah laku manusia dalam membentuk kesihatan yang lebih baik.

“Sebagai contoh, dalam pengurusan penyakit wabak berjangkit seperti wabak Covid-19, pemahaman tentang tingkah laku dan respons penyakit serta orang yang dijangkiti secara saintifik membantu dalam usaha (membendung) penularan wabak itu,“ katanya.

Selain membentangkan beberapa resolusi dalam persidangan tersebut, Dr Zaliha berkata beliau turut bertukar pandangan dengan beberapa anggota lembaga eksekutif mengenai isu kesihatan.

“Contoh yang agak terkesan dengan saya, bila kita berbincang dengan beberapa negara, contohnya masalah kesihatan negara kita seperti dibayar gaji yang kurang, kerja teruk (ia) banyak berkaitan dengan peruntukan bajet yeng kita terima dalam Kementerian Kesihatan kerana sekarang ini, kita terima lebih kurang 2.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar produk Kementerian Kewangan.

“Saya bincang juga dengan negara lain ada antara mereka terima 10 peratus (peruntukan dalam bajet) untuk sistem kesihatan mereka dan itu satu pencapaian yang agak jauh berbanding mereka,“ katanya.

Pada 3 Feb lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Dr Zaliha menjadi Menteri Kesihatan Malaysia pertama diberi penghormatan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO dan ia kali pertama berlaku dalam sejarah kesihatan negara.

Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO diadakan secara berkala dihadiri menteri-menteri kesihatan, ketua-ketua pengarah dah pakar dalam bidang kesihatan. Ia merupakan platform bagi membincangkan komitmen, dasar, status pelaksanaaan program dan hala tuju sektor kesihatan yang telah dipersetujui secara konsensus di bawah WHO.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata Malaysia akan belajar dari Amerika Syarikat (AS) bagaimana negara itu bakal diisytiharkan sebagai negara endemik Mei depan.

“Mungkin ada perkara-perkara yang kita boleh belajar daripada AS, apakah pengalaman telah mereka lalui dan diambil kira sebagai faktor untuk mengisytiharkan negara bebas Covid-19,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image