Mazlan Bujang umum letak jawatan, keluar Bersatu, mulai hari ini

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa Mazlan Bujang(gambar) hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu berkata turut sama meletakkan jawatan ialah 22 Ahli Jawatankuasa Bersatu Tebrau.

Menurut Mazlan, beliau kini tidak menjadi ahli mana-mana parti tetapi menyokong Barisan Nasional (BN).

“Saya juga mengambil pendirian menyokong kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohamad untuk memimpin semula negeri Johor dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri Johor yang lebih baik untuk kebaikan rakyat Johor.

“Keputusan ini saya buat berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil, kepimpinan yang diyakini dan juga berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar sebelum ini mentadbir negeri Johor dengan baik,“ katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata surat peletakan jawatan beliau juga telah siap dan akan dihantar dalam masa terdekat.

Mazlan juga mengesahkan dakwaan seorang pemimpin kanan Bersatu Johor bahawa beliau tidak pernah menghadiri mesyuarat di peringkat negeri yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengambil alih jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor daripadanya pada 2020 kerana mempunyai sebab yang kuat tetapi menghantar wakil.

“Hari ini saya boleh bercakap, selama saya dilantik sebagai Ketua Bersatu Johor, yang surat lantikan itu oleh presiden saya sendiri, dan saya diboikot, tak pernah Pagoh (Muhyiddin) hantar wakil dalam mesyuarat.

“Bila jawatan saya diambil oleh dia (Muhyiddin), perlu ke saya hadir untuk menghormati dia sedangkan dia tak pernah hormati saya?” katanya.

Mazlan mengesahkan ada menerima tawaran untuk menyertai parti lain tetapi mengelak untuk bercakap mengenainya kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

“Nak cakap tiada tawaran itu bohong. Saya hormati kawan-kawan termasuk dalam Pakatan Harapan... mereka kawan yang baik cuma kita berbeza dari pandangan politik. Benda ini (hala tuju politik) kerja Allah, kita tak tahu akan datang, saya letakkan kepentingan Johor jauh lebih daripada diri saya,” katanya.

Mazlan juga menyeru semua ahli dan penyokong Bersatu supaya bermuhasabah diri dan menyokong kepimpinan Hasni dan BN dalam pilihan raya negeri Johor pada kali ini.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image