KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus memperkukuhkan kedudukan di persada Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023, selepas membelasah Universiti Teknologi Mara (UiTM) HA-KPT 10-0 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Kuala Terengganu petang semalam.

Beraksi di halaman sendiri, tonggak import dari Korea Selatan Jang Jong-hyun membuktikan statusnya selaku pakar pukulan sudut penalti, selepas meledak empat gol sekali gus meletakkan THT selesa menerajui liga, dengan mengumpul 34 mata berbaki dua lagi perlawanan perlu diharungi.

Seawal suku pertama, THT terlebih dahulu berada di hadapan selepas Jong-hyun dan Ismail Abu menghasilkan jaringan masing-masing, pada minit kesembilan dan ke-13.

Jong-hyun dan Ismail kemudian terus mengukir senyuman buat THT apabila dua lagi gol disumbangkan mereka pada minit ke-25 dan ke-28.

Suku ketiga perlawanan, UiTM HA-KPT terus menjadi mangsa belasahan skuad dibarisi pemain berkualiti itu, selepas dibolosi dua gol menerusi jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-32 dan Jong-hyun pada minit ke-44.

Suku terakhir, THT terus membedil pasukan pelawat tanpa belas ihsan dengan empat lagi jaringan gol menerusi Jong-hyun pada minit ke-50, Faizal Saari (ke-51, ke-57) serta Mohamad Akhimullah (ke-59).

Dalam aksi lain, Maybank (26 mata) berada di kedudukan ketiga liga, terus merapatkan jurang mata dengan pasukan di tangga kedua, Tenaga Nasional Berhad (28 mata) selepas menewaskan Young Tigers 3-1 pada aksi di Stadium Hoki Nasional 1, Bukit Jalil, di sini.

Gol Maybank dihasilkan Faridzul Afiq Mohd (ke-12) diikuti Muhammad Razie Abd. Rahim (ke-17, ke-33) sementara Young Tigers memperoleh gol sagu hati menerusi Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak (ke-29).

Tenaga Nasional Berhad Thunderbolts (TNB-T) pula menang tipis 3-2 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pada aksi di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, di sini.

Gol TNB-T diperoleh menerusi Muhammad Muhibuddin Moharam (ke-10), Mohamad Redzuan Nor Mohamad (ke-17) dan Muhamad Luqman Fauzi (ke-38), sementara gol ATM dijaringkan Muhamad Nazrey Din (minit ke-5) dan Mohammad Amirul Hanis Abdul Aziz (ke-19). -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image