IPOH: MIC telah menyampaikan hasrat kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) agar diberikan ‘kerusi boleh menang’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran(gambar) berkata mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen yang munasabah, perlu diberikan kepada parti itu untuk ditandingi serta dimenangi supaya ada wakil daripada kaum India membawa masalah mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau kita dapat satu kerusi (di negeri) bermakna kita boleh duduk sebagai exco maka ada penglibatan kita untuk mengatasi masalah berkaitan kaum India.

“Kita tidak mengharapkan Umno sebagai satu-satunya parti yang bekerja dan memenangi pilihan raya. Kita hendak menolong Umno, BN dan kita mahu berada di barisan hadapan supaya kalau berlaku ‘pertempuran,’ biarlah kita yang bertempur dahulu,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Badan Perhubungan MIC Negeri Perak ke-76 di sini hari ini.

Beliau berkata hasrat itu telah disampaikan kepada pucuk pimpinan dan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya MIC diberi peluang serta ada kelainan daripada gabungan politik tersebut untuk ditawarkan pada PRU15.

Katanya perubahan sedemikian adalah penting agar pengajaran dapat dipelajari daripada PRU14 supaya tiada kesilapan percaturan dari segi parti dan calon.

Pada PRU14, MIC bertanding sembilan kerusi Parlimen dan 18 Dun.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image