MPN sokong tindakan mansuh AP: Muhyiddin

PAGOH: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyokong tindakan kerajaan memansuhkan keperluan permit import (AP) terhadap bahan makanan.

Bagaimanapun, Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin(gambar) berkata kerajaan perlu meneliti impak pemansuhan itu bagi memastikan ia tidak memberi kesan negatif terhadap sektor makanan dan pertanian negara.

“Tujuan asal AP ini adalah untuk melindungi pengeluar tempatan iaitu pengimport dibenarkan dengan kuota tertentu supaya tidak beri kesan negatif kepada pengusaha tempatan.

“Jadi walaupun dasar mansuh AP itu dilihat baik tetapi kita nak tengok juga apakah kesan kepada industri pertanian tempatan, apakah kerajaan boleh beri bantuan lebih kepada sektor pertanian seperti subsidi dan pinjaman bank yang mudah,“ katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh hari ini.

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kerajaan bersetuju untuk tidak mengenakan AP bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan beliau bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Mengulas Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0, Muhyiddin berkata ia kini di peringkat melantik konsultan bagi membantu sekretariatnya menangani isu berbangkit.

Beliau berkata ini kerana pelan itu bukan sahaja untuk jangka pendek atau sederhana tetapi juga meliputi jangka panjang terutama berkaitan tindakan dan tumpuan kerajaan agar proses pemulihan lebih pantas.

Pada 7 Mac lepas, Muhyiddin dilaporkan berkata PPN 2.0 perlu bersifat luar biasa bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mantap selain meletakkan kembali Malaysia di landasan untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. -Bernama