PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pada 11.15 pagi ini.

Beliau hadir dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard menggunakan nombor pendaftaran JBM 2.

Muhyiddin dilihat berpakaian kemeja putih dan mengenakan suit hitam, serta berseluar hitam.

Pengerusi Perikatan Nasional itu turut diiringi sebuah lagi kenderaan, dipercayai membawa barisan peguam diketuai Datuk K. Kumaraendran.

Semalam, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan menafikan dakwaan beliau ditahan SPRM ketika bermain golf di sebuah padang golf di Selangor, seperti dilaporkan beberapa portal media dan turut memaklumkan bahawa beliau diminta hadir ke ibu pejabat SPRM pukul 11 pagi ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di hadapan perkarangan Ibu Pejabat SPRM, pengamal media daripada pelbagai agensi berita tempatan dan asing mula berkumpul sejak 7 pagi tadi, bagi mengikuti perkembangan siasatan kes berkenaan selain penyokong Muhyiddin yang berkumpul di luar bangunan SPRM.

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu, dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa). -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image