KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengenal pasti 91 fasiliti serta klinik kesihatan di negeri itu yang berisiko mengalami banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata daripada jumlah itu jajahan Pasir Mas merekodkan 21 fasiliti, diikuti Gua Musang (19), Kuala Krai (12), Tanah Merah (8), Machang (7), Tumpat (7), Kota Bharu (6), Jeli (5), Bachok (4) dan Pasir Puteh (2).

“Antara faktor yang menyebabkan fasiliti terbabit terjejas akibat banjir adalah kawasan klinik dinaiki air atau tenggelam, tidak beroperasi disebabkan isu keselamatan dan akses jalan raya ke klinik terbabit terputus hubungan.

“Sekiranya perkara ini terjadi, fasiliti ini akan berpindah operasi ke klinik kesihatan yang berdekatan, sekolah atau masjid,“ katanya kepada Bernama di pejabatnya di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Dr Zaini berkata pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa kawasan pendaratan helikopter sekiranya terdapat hospital di negeri itu terputus hubungan jalan raya disebabkan banjir.

“Golongan berisiko tinggi seperti kes antenatal dan penyakit kronik yang memerlukan rawatan kritikal secara berkala seperti dialisis akan dipindahkan lebih awal bagi mengelak terputus rawatan sama ada menggunakan helikopter atau ambulans.

“Setakat ini, seramai 198 pasukan perubatan, 83 pasukan kesihatan serta 20 pasukan kesihatan mental dan tindakan psikososial akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS),“ katanya.

Beliau berkata pasukan perubatan akan bertugas di PPS mengikut jadual seperti mengadakan lawatan harian sekiranya jumlah mangsa banjir kurang daripada 1,000 orang bermula 8 pagi hingga 5 petang.

“Jika mangsa banjir lebih daripada 1,000 orang, kita akan wujudkan klinik bergerak 24 jam di PPS tersebut namun ia bergantung kepada situasi semasa di PPS terbabit.

“Kita juga akan pastikan aset, peralatan, ubat di fasiliti berisiko banjir ditempatkan di lokasi yang selamat bagi mengelak kerosakan dan kerugian,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image