ALOR SETAR: Datuk Norizan Khazali, 56, dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim yang bersara wajib semalam.

Istiadat pengurniaan tauliah pelantikan itu disempurnakan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Norizan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains M.Sc (L.A.D) Pentadbiran dan Pembangunan Tanah pada 2008, sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan).

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah pada 1 Dis 1991 di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap dan mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran tanah selama 17 tahun.

Norizan juga bertanggungjawab merangka Pelan Transfomasi Pembangunan Negeri Kedah pada 2013 dan Pelan Pembangunan Kedah 2035 semasa bertugas di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Beliau juga bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) merangka pembangunan Kedah Rubber City (KRC), Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam, Kedah Aerotropolis, Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dan Lebuhraya Koridor Utara (NCH).

Sementara itu, Norizan berkata beliau akan memastikan perkhidmatan awam di negeri ini menjadi perkhidmatan yang cekap dan cepat, berintegriti, akauntabiliti dan responsif kepada pelanggan.

“Sebagai SUK yang baharu saya mempunyai tanggungjawab besar untuk memimpin pentadbiran negeri Kedah khususnya pejabat awam...harapan saya supaya perkhidmatan awam di negeri ini akan menjadi satu perkhidmatan yang efisien, mesra dan fleksibel.

“Maksud fleksibel ini, kita kena membantu pelanggan sama ada individu atau swasta atau siapa sahaja dengan permudahkan urusan supaya rakyat dapat keputusan dan hidup lebih sejahtera,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image