KUALA LUMPUR: Gandingan mantap Nur Nadhirah Azmi dan Ain Nurnajwa Norhisham dari Perlis nyata menjadi apabila berjaya membawa pulang pingat emas menerusi acara boling padang kategori pairs wanita di Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kompleks Sukan Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Pasangan berkenaan yang membuat penampilan kali kedua di temasya dwitahunan berkenaan menundukkan gandingan Kedah, Nurul Alia Fitrah Mohamad Ali dan Athirah Mohd Rodzi, 24-5, sekali gus menyaksikan negeri jelapang padi itu merangkul pingat perak.

Pasangan Sarawak, Fatin Izzati Mohamad Nizamri dan Jamiah Hasbi terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas menewaskan pasangan Sabah, Dayangku Haslyn Suraya Awang Husin dan Norcahaya Zakaria, 13-11.

Bercakap kepada pemberita selepas merangkul kejuaraan, Ain Nurnajwa yang kelihatan sebak dengan kemenangan berkenaan, berkata tidak menyangka mampu menghadiahkan pingat emas pada penampilan kali terakhir dalam kejohanan itu.

“Saya sangat berpuas hati sebab Sukma Perak 2018 kami dapat pingat perak. Sebelum datang ke sini juga saya cedera (tisu lembut di lutut kiri) tapi akhirnya dapat juga pingat emas jadi saya sangat berpuas hati.

“Pingat emas ini kami hadiahkan kepada jurulatih dan pegurus pasukan, ibu bapa dan juga pihak Majlis Sukan Negeri (MSN). Insya-Allah kalau berpeluang saya mahu meneruskan karier dalam pasukan kebangsaan pula,” katanya.

Dalam pada itu, atlet boling padang Terengganu, Muhammad Idham Amin Ramlan menyatakan kesyukuran apabila mampu menghadiahkan pingat emas buat kontinjen itu.

Beliau merekodkan kemenangan 21-13 ketika menentang atlet Johor, Amirul Danial Abdul Rahim sekali gus menyaksikan wakil Selangor, Mohammad Haikal Roslan, meraih pingat gangsa. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image