KUALA LUMPUR: Susulan kes pertama varian baharu Covid-19 Omicron yang dilaporkan di negara ini, rakyat di dua negeri diminta terus berwaspada dan meningkatkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak daripada dijangkiti.

Di PULAU PINANG, kerajaan negeri meminta 503,000 petugas barisan hadapan, warga emas dan individu yang mempunyai komorbid, segera mendapatkan suntikan dos penggalak di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata walaupun negeri berkenaan telah mencapai kadar vaksinasi dewasa 101.3 peratus, penularan Omicron tidak boleh diambil ringan oleh rakyat.

“Orang ramai perlu terus menjaga SOP dan mengambil vaksinasi dos penggalak, sebagai ikhtiar untuk meningkatkan perlindungan diri bagi membendung kes kategori tiga, empat dan lima Covid-19, yang memerlukan rawatan di hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Sehingga semalam, 108,420 penduduk Pulau Pinang menerima dos penggalak (dan ia) satu peningkatan sangat memberangsangkan. Namun kita masih antara enam negeri terendah dan antara faktor utama ialah kerana 40 hingga 50 peratus mereka yang mendapat janji temu vaksinasi dos penggalak, tidak hadir atau menolaknya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin, meminta rakyat negeri itu supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dan mengelakkan daripada berada di tempat sesak.

“Elakkan berada di lokasi yang sesak, sentiasa memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Di KEDAH pula, ujian pengesanan Covid-19 tambahan bagi pengembara yang tiba di Langkawi menerusi Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi, akan memastikan pulau peranginan itu bebas daripada varian Omicron.

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menerusi kenyataan hari ini berkata ujian pengesanan tambahan itu dilakukan pada hari ketiga dan kelima dari tarikh ketibaan, bagi pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi.

“LADA mengalu-alukan langkah tambahan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan bagi saringan pelancong yang masuk ke Langkawi di bawah program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

“Pelancong perlu menjalani ujian RTK-Ag pada hari ketiga dan kelima semasa berada di Langkawi. Ini dapat memastikan Langkawi bebas daripada Covid-19, varian Omicron,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata kerajaan negeri Kedah, bersedia menerima pelancong luar negara yang berkunjung ke Langkawi di bawah Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

“Saya difahamkan penerbangan terus dari Singapura telah tiba di Langkawi hari ini. Pelancong-pelancong ini sudah menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas ke Langkawi. Kita juga akan adakan ujian RT Saliva, sekiranya pelancong yang tiba mempunyai simptom,” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini memaklumkan Malaysia merekodkan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron, membabitkan seorang pelajar dari Afrika Selatan yang menuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.

Sebelum ini, Khairy berkata pelancong dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau berisiko tinggi berlakunya penularan, tidak dibenar menyertai program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

Negara-negara tersebut adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia serta Zimbabwe, dan turut tidak dibenarkan ialah pelancong yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara berkenaan dalam tempoh 14 hari.-Bernama