Pak Lah sihat walafiat

KUALA LUMPUR: Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini memaklumkan bekas perdana menteri itu berada dalam keadaan sihat walafiat di samping keluarga.

Justeru, Pejabat Tun Abdullah menerusi satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya hantaran tular menerusi Facebook milik 'Mohd Hasni Izuwan' dan 'Saifulzaman Mahmood' berhubung kesihatan perdana menteri kelima itu yang lebih mesra dipanggil Pak Lah.

Menerusi tangkap layar yang turut dikongsikan, kedua-dua pemilik Facebook itu memuat naik status menyatakan bahawa bekas perdana menteri kelima itu telah kembali ke rahmatullah.

“Pihak pejabat memandang serius penularan berita palsu ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu,“ demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Pihak pengurusan pejabat itu berharap masyarakat dapat memastikan terlebih dahulu kesahihan daripada pihak yang berautoriti sebelum menyebarkan sebarang berita bagi mengelakkan kekeliruan.

Sementara itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata selain Tun Abdullah, isteri beliau Tun Jeanne Abdullah juga berada dalam dalam keadaan sihat walafiat

“Saya baru berbual di telefon dengan Tun Jeanne, mereka sedang bercuti dalam negara ketika ini,“ katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Sambil meminta supaya penyebaran berita tidak benar dihentikan, Reezal Merican turut mengajak orang ramai mendoakan Abdullah dan Jeanne sentiasa sihat dan dalam peliharaan Allah Taala.-Bernama