Pameran, konsert mini dianjur sempena Hari OKU antarabangsa: Ras Adiba

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa (IDPD) pada 3 Dis saban tahun menyediakan platform untuk meningkatkan kesedaran berhubung hak-hak Orang Kurang Upaya (OKU) selain meraikan keupayaan dan sumbangan mereka.

Senator Datuk Ras Adiba Radzi(gambar) berkata sebagai sebahagian daripada sambutan di sini, pameran selama tiga hari dan konsert mini bertajuk 'Kau dan Aku' akan diadakan di Pusat Seni Persembahan Damansara bermula esok, yang menampilkan bakat OKU termasuk dalam bidang nyanyian serta tarian.

“Saya mahu orang ramai menyedari, hanya kerana kami OKU tidak bermakna kami tidak boleh melakukan apa yang orang lain lakukan,“ katanya dalam program bual bicara The Brief terbitan Bernama TV hari ini.

Ras Adiba, yang juga Presiden OKU Sentral, berkata konsert mini tersebut akan diadakan dari 8 hingga 10 malam yang boleh ditonton secara dalam talian menerusi platform media sosial badan bukan kerajaan itu.

“Saya juga berharap penonton tidak hanya datang untuk melihat persembahan kami tetapi juga membantu menyokong komuniti ini secara ekonomi dengan membeli lukisan yang dijual,“ katanya.

Konsert mini itu akan berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard iaitu kapasiti penonton dihadkan kepada 100 orang manakala masuk adalah percuma namun tiket perlu ditempah terlebih dahulu dengan menghubungi Azlinda Zainudin di talian 013-3565 939) atau Zarita Zakaria (012-3250 326).-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image