MELAKA: Sepasang suami isteri dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari atas enam pertuduhan secara bersama mengedar pelbagai jenis dadah bulan lepas.

Lee Wui Khang, 34, dan isterinya Pimanmart Chai Songkram, 30, didakwa mengedar dadah jenis cecair ketamin sebanyak 31,000 mililiter (ml), serbuk ketamin 3,711 gram (gm), MDMA (229gm), Nimetazepam (144gm), ketamin (96.69gm) dan cecair ketamin (25,000ml).

Suami isteri itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah unit pangsapuri Straits Emerald Tower, Jalan Merdeka Garden City di sini pada 20 Jan 2023 sekitar 8.25 malam dan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah, jika tertuduh tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan bersama itu dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman namun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka bagi kesemua enam pertuduhan berkenaan.

Lee dan isterinya turut didakwa secara bersama di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis kanabis pada tarikh, masa dan tempat yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan sebatan.

Bagi pertuduhan ini, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Dalam pada itu, Lee turut berdepan satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis ketamin cecair sebanyak 3,910ml pada tarikh yang sama di tempat letak kereta di hadapan pangsapuri Straits Emerald Tower Jalan Merdeka Garden City, sekitar 8.10 malam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(A) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 15 sebatan.

Prosiding pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh serahan laporan kimia dan sebutan semula kes. -Bernama