REMBAU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan proaktif dalam menyelesaikan masalah projek 'sakit' melibatkan pembangunan fasiliti kesihatan di negara ini dengan pemantauan rapi kemajuan projek setiap bulan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata KKM melakukan pemantauan serius terhadap perkembangan 13 projek 'sakit' yang melibatkan klinik kesihatan, hospital dan kuarters di bawah KKM menerusi pasukan bertindak khas.

“Projek-projek ini jumlahnya akan turun naik setiap bulan, tetapi yang penting setiap bulan saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan di peringkat KKM untuk memastikan pemantauan dengan lebih rapi dilakukan.

“Sebagai contoh, KKM berdepan beberapa projek sakit antaranya Hospital Papar di Sabah, iaitu satu projek yang ada kelewatan (pembinaan) tetapi dengan langkah diambil oleh KKM dan Kementerian Kerja Raya berjaya mengurangkan kelewatan itu,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hospital Rembau yang dinaik taraf sebagai hospital minor pakar.

Terdahulu, Khairy dalam ucapannya turut menyifatkan penaiktarafan Hospital Rembau itu kemungkinan menjadi hadiah 'terakhir' beliau selaku Ahli Parlimen Rembau.

Memperincikan hospital berkenaan, Khairy berkata KKM menambah sebuah lagi dewan bedah di hospital itu yang dilengkapi dengan mesin imbasan CT (tomografi berkomputer) dengan kos RM9 juta.

Katanya, Hospital Rembau yang siap pembinaannya pada 10 Oktober 2019 itu membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

Selain itu, hospital berkenaan juga membolehkan penduduk di Rembau, Tampin dan kawasan sekitarnya menerima rawatan kepakaran di hospital berkenaan serta dapat memendekkan masa menunggu untuk menerima rawatan pakar.

Khairy berkata hospital berkeluasan 6.65 hektar itu melibatkan kos RM147 juta dan pakar perubatan daripada pelbagai disiplin juga akan ditempatkan secara berfasa selaras dengan proses naik taraf dewan bedah kedua.

Beliau berkata selain Hospital Rembau, beberapa hospital di Sabah dan Sarawak akan turut dinaik taraf menjadi hospital negeri, hospital pakar major dan hospital pakar minor.

Selain itu, Khairy berkata KKM secara dasarnya bersetuju membekalkan perkhidmatan Wi-Fi percuma kepada pelanggan di semua hospital di seluruh negara dengan menjadikan Hospital Rembau sebagai permulaan.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM juga sedang melihat langkah segera untuk menurunkan waktu menunggu di semua fasiliti kesihatan di negara ini.

“Minggu ini saya menerima taklimat waktu menunggu untuk prosedur penting seperti imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik), imbasan CT dan sebagainya. KKM akan melihat langkah segera yang dapat dibuat supaya waktu menunggu terutamanya imbasan diagnostik ataupun pembedahan serta rawatan kanser dapat diturunkan,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image