IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong(gambar) membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 15 dan 16 Feb depan untuk Yong, 51, membela diri.

Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen-elemen utama iaitu kemasukan pada kemaluan, kejadian seks tanpa kerelaan selain keterangan saksi termasuk mangsa yang konsisten sepanjang perbicaraan walaupun diasak bertubi-tubi oleh pihak pembelaan.

“Berdasarkan pemerhatian dan pertimbangan saya sewaktu pendakwaan, sesi soal balas peguam, bukti-bukti barang kes, maka penilaian saya mendapati bahawa pendakwaan berjaya menunjukkan kes prima facie.

“Kenyataan saksi termasuk mangsa juga diambil kira iaitu mangsa cuba melawan, meronta, berteriak sewaktu kejadian tapi tidak didengari kerana bilik tertutup. Malah mangsa juga tidak boleh melawan kerana tertuduh berbadan besar dan wujudnya perlakuan seks tanpa kerelaan,” katanya.

Hakim Abdul Wahab sewaktu membacakan keputusan kira-kira 45 minit itu berkata beliau juga mengambil kira keterangan pakar bahawa wujudnya penetrasi sehingga menyebabkan koyakan baharu pada kemaluan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin, manakala Yong diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.

Sementara itu Rajpal ketika ditemui di luar perkarangan mahkamah berkata pihaknya akan mengemukakan sekurang-kurangnya empat saksi semasa prosiding membela diri dan anak guamnya akan memberikan keterangan secara bersumpah.

Pada 28 Sept 2021, pihak pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 5 April lepas.

Mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 16 Nov 2021.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image