KUANTAN: Seorang pejalan kaki dipercayai etnik Rohingya dan penumpang sebuah kenderaan maut dalam kemalangan di KM55 Jalan Pekan - Nenasi - Rompin, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata ketika kejadian sekitar 9.30 pagi itu pemandu kereta jenis Proton Saga Mohamad Aizuddin Karim, 27, dan isterinya Nor Katijah Mamat, 33, dalam perjalanan dari Pekan menuju ke Rompin.

“Ketika melalui kawasan jambatan, pemandu tersebut dipercayai mengantuk dan terbabas ke kiri jalan serta melanggar seorang pejalan kaki sebelum kenderaan itu terbabas masuk ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pejalan kaki lelaki yang belum diketahui identitinya itu maut di lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata Nor Khatijah berjaya keluar dari kereta bagaimanapun mangsa lemas selepas dibawa arus dan mayatnya ditemukan oleh orang awam.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya.

Menurut beliau pemandu kenderaan yang terbabas ke dalam sungai itu berjaya diselamatkan oleh orang awam, mangsa mengalami luka di bahagian tangan kanan dan dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan.

Jurucakap itu memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.47 pagi tadi sebelum lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi bergegas ke lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image