Pejuang tidak terlibat dalam PRN Sarawak

PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad(gambar).

Beliau berkata Pejuang juga tidak akan menyokong mana-mana pihak yang bertanding dalam PRN itu.

“Kita akan bertanding hanya dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Kita tak terlibat (PRN Sarawak),” katanya kepada media selepas melancarkan buku ‘Speaking of Mass Destruction ... A Journey To Iraq As Seen By Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali’, di sini hari ini.

Buku itu mencatatkan perjalanan Dr Siti Hasmah ke Iraq pada tahun 2000 ketika negara itu berada di bawah sekatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Dis ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis.

Dr Siti Hasmah dalam sidang media itu berkata buku tersebut adalah berdasarkan pengalaman tiga hari beliau di negara yang dilanda peperangan itu, pada ketika orang luar sukar untuk memasuki negara tersebut.

“Saya telah diminta oleh suami saya (Dr Mahathir), yang merupakan perdana menteri ketika itu, untuk melawat Iraq bagi pihaknya untuk mengetahui lebih mendalam mengenai situasi di negara tersebut.

“Oleh kerana ia diminta oleh beliau, saya tidak rasa risau atau takut untuk ke sana. Dalam buku ini, anda akan belajar mengenai bagaimana negara itu alami kerosakan yang juga telah menjejaskan wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Buku Mewah 170 muka surat, ditulis dalam bahasa Inggeris dan memaparkan pelbagai gambar keperitan orang ramai yang Dr Siti Hasmah dan delegasi seramai 10 orang wani daripada pelbagai organisasi bukan kerajaan bertemu, boleh dibeli menerusi Instagram aliandalimedialinks pada harga RM120.

Hasil daripada jualan buku itu akan disumbangkan kepada organisasi yang menguruskan kanak-kanak di negara bergolak.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image