KUALA LUMPUR: Jumlah pelajar yang berhenti sekolah bagi 2018 adalah lebih tinggi berbanding dalam tempoh pandemik iaitu Mac 2020 hingga Julai tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon(gambar) berkata sejumlah 34,074 pelajar direkodkan berhenti sekolah pada 2018 manakala hanya 21,316 pelajar berhenti sekolah bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai tahun ini.

“Maksudnya, untuk tahun sebelumnya, angka itu (pelajar berhenti sekolah) adalah lebih tinggi daripada apa yang diberikan kepada Kangar (Noor Amin Ahmad),” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang membangkitkan jawapan bertulis Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin kepada Noor Amin yang bertanyakan jumlah pelajar berhenti persekolahan dari Mac 2020 sehingga kini.

Dalam jawapan bertulis itu, Radzi memaklumkan seramai 11,301 pelajar berhenti sekolah bagi tempoh Mac hingga Disember 2020, manakala bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, seramai 10,015 murid direkodkan berhenti sekolah.

Semalam Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) yang juga bekas Menteri Pendidikan, di Twitter rasminya meluahkan rasa terkilan dengan jumlah pelajar yang berhenti sekolah bagi tempoh itu.

Sehubungan itu, Mah berkata Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pelbagai langkah bagi menurunkan kadar keciciran pelajar termasuk menggerakkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengesan pelajar yang tidak hadir semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan semasa sesi pembelajaran di sekolah ketika sekolah dibuka semula.

Selain itu, katanya KPM turut menyediakan perkhidmatan bimbingan dan sokongan psikososial melalui pelbagai kaedah serta mengadakan perbincangan antara pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga pelajar untuk mengenal pasti sebab dan langkah untuk menangani pelajar yang kurang minat untuk belajar.

“... pada waktu sama kita melaksanakan intervensi murid risiko cicir PdP di peringkat JPN dan PPD. Kita juga menyediakan garis panduan mengurus murid berisiko cicir di sekolah (GPMBC) sebagai rujukan PPD, JPN dan sekolah,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Prabakaran a/l M Parameswaran (PH-Batu) mengenai pelan memperkenalkan mata pelajaran perpaduan bagi murid sekolah rendah dan menengah menggantikan pendidikan moral, Mah berkata buat masa ini kementerian tiada perancangan berhubung perkara itu.

Beliau berkata bagaimanapun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 mengesyorkan bahawa kurikulum pendidikan moral bagi murid bukan Islam memberi lebih tumpuan tentang nilai universal, perpaduan dan hubungan baik sesama insan.

“KPM telah melaksanakan penambahbaikan secara bersepadu dengan memberi lebih tumpuan kepada elemen perpaduan dalam aspek kurikulum, strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta bahan sokongan,” katanya.

Menjelas lanjut Mah berkata elemen perpaduan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral juga diterjemahkan secara eksplisit dan diperkembangkan melalui tema dan bidang yang khusus dan dikaitkan juga dengan konstruk perpaduan.

KPM juga katanya menghasilkan bahan sokongan untuk memantapkan amalan perpaduan dalam kalangan murid iaitu ‘Buku Panduan Pelaksanaan Memperkukuh Perpaduan Melalui Mata Pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dalam Kurikulum’ yang menjadi rujukan guru Pendidikan Moral untuk memperkukuh perpaduan secara terancang melalui pelbagai cadangan aktiviti PdP dalam dan luar bilik darjah.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image