PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pembangunan atau pembersihan tanah di kawasan berkecerunan melebihi 25° tetapi kurang 35° tanpa kajian dan kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Ketua Pengarahnya Wan Abdul Latiff Wan Jaafar dalam kenyataan hari ini berkata sebarang aktiviti pembangunan dan pembersihan tanah di kawasan yang berkecerunan berkenaan adalah tertakluk di bawah aktiviti yang ditetapkan dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekeliling) 2015.

Katanya berdasarkan Jadual Pertama - Aktiviti 13 (a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kelulusan laporan EIA diperlukan bagi pembangunan dan pembersihan cerun yang meliputi kawasan kurang daripada 50 peratus kawasan cerun berkecerunan melebihi atau sama dengan 25° tetapi kurang daripada 35°.

“Kajian dan kelulusan laporan yang sama juga diperlukan bagi pembinaan jalan, terowong atau jambatan yang merentasi kawasan cerun.

“Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 34A akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan berlaku kerja-kerja pembersihan tanah dan penebangan pokok di kawasan cerun di Bukit Tabur, Mukim Hulu Kelang, Selangor.

Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata beliau bersama Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang serta Pengarah JAS Negeri Selangor Nor Aziah Jaafar telah memeriksa tapak di kawasan cerun di bukit berkenaan.

Menurut beliau, kerja-kerja tanah telah dihentikan susulan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 11 Sept lalu.

“Hasil pemeriksaan tapak dan pemerhatian menggunakan dron mendapati tiada sebarang langkah kawalan hakisan dan sedimen di kawasan cerun yang telah ditereskan oleh pemaju,“ katanya.

Katanya orang ramai juga boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke aduan_@doe.gov.my dan melalui portal eaduan.doe.gov.my. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image