KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berharap Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini dapat menangani isu pendapatan rakyat, kos sara hidup dan pemerkasaan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Saravanan Thambirajah berkata isu paling serius dihadapi kebanyakan pengguna yang juga sebagai pekerja ketika ini ialah pengangguran dan pengurangan pendapatan.

Beliau berkata walaupun statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pengangguran turun kepada 3.9 peratus, masih terdapat rungutan daripada pekerja yang mengadu dikerah bekerja lebih masa dengan gaji tidak setimpal.

“Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif untuk memastikan jaminan kualiti hidup rakyat,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Saravanan turut menggesa kerajaan memasukkan inisiatif mengawal harga atau kos penjagaan kesihatan termasuk ubat-ubatan, rawatan serta makanan kesihatan tambahan yang ditawarkan hospital, klinik dan farmasi swasta dalam Bajet 2023.

“Ini kerana kita sering mendengar pesakit dikenakan bayaran yang tidak masuk akal menyebabkan ramai pengguna berpendapatan sederhana tidak mampu membayar penjagaan kesihatan swasta. Fomca turut menyokong peraturan penetapan harga untuk ubat-ubatan,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan turut berharap penggubalan Akta Kredit Pengguna yang sedang diusahakan kerajaan bagi mengukuhkan perlindungan pengguna kredit, dapat dikuatkuasakan selewat-lewatnya menjelang akhir 2023.

Katanya ini kerana ketika ini tiada undang-undang khusus untuk mengawal penyedia perkhidmatan yang menyediakan perniagaan dalam talian sehingga mereka bebas mengenakan kadar faedah sesuka hati kepada pengguna.

“Fomca juga berharap untuk melihat ‘Lemon Law’ yang dicadangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dilaksanakan di Malaysia supaya pengguna di negara ini akan lebih dilindungi daripada penipuan dan produk yang rosak,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta Anis Athirah Jani, 34, berharap Bajet 2023 akan dapat menangani isu kenaikan harga barangan bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan yang dihadapi rakyat.

Anis berkata sebelum ini beliau boleh membeli pelbagai bahan mentah dengan RM200, namun berikutan kenaikan harga jumlah barangan yang boleh dibeli dengan nilai wang sama semakin sedikit.

“Saya juga berharap agar lebih perhatian dan bantuan diberikan kepada golongan M40 yang kurang menerima bantuan tetapi masih membayar cukai. Kebanyakan daripada golongan ini sebenarnya boleh dikategorikan sebagai miskin bandar,” katanya.

Seorang pekerja dalam bidang teknologi maklumat, Rabeahtul Adawiah, 51, pula mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan insentif kepada golongan M40 berusia 45 tahun ke atas yang masih bujang dan menjaga ibu bapa yang sakit.

“Dalam keadaan kita berdepan dengan kesan inflasi dan kedudukan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, saya turut berharap agar Bajet 2023 dapat menumpukan kepada inisiatif pengawalan harga secara berterusan,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image