Pemilihan PKR: Rafizi akui wujud masalah teknikal

SEREMBAN: Calon Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli(gambar) mengakui berlaku masalah teknikal di beberapa kawasan termasuk membabitkan peranti ketika proses pemilihan secara fizikal parti itu ketika ini.

Beliau berkata perkara tersebut boleh menimbulkan keresahan dan kekecewaan ahli parti yang keluar mengundi tetapi tidak dapat berbuat demikian susulan masalah berkenaan.

“Yang ketara sekali kita memang ada masalah sistem seperti peranti ambil masa lama dan beberapa isu melibatkan pepijat sebab itu ada di beberapa tempat terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan kerana masalah ini.

“Saya faham sebab JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti) perlu uruskan proses pemilihan melibatkan sejuta orang dan hanya ada masa dua bulan...kita minta mereka selesaikan masalah sebelum pemilihan minggu depan di beberapa negeri (keahlian) besar seperti Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini malam tadi.

Sehubungan itu beliau akan menulis satu surat rasmi kepada JPP meminta supaya perkara itu diselesaikan dengan segera.

Semalam, media melaporkan proses pengundian secara fizikal bagi pemilihan PKR di Cabang Padang Serai, Kedah terpaksa ditangguhkan selepas mendapat bantahan berikutan wujud rasa tidak puas hati selain masalah teknikal.

Dalam pada itu, Mohd Rafizi berkata jumlah ahli parti itu yang keluar mengundi setakat ini lebih rendah berbanding pemilihan lepas tetapi perkara itu sudah dijangkakan berikutan sebahagian daripada mereka akan mengundi secara dalam talian.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image