NIBONG TEBAL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan 20 kompaun bernilai RM40,000 terhadap pemilik sebuah premis di Nibong Tebal di sini kerana melakukan pembakaran terbuka.

Pengarah JAS Pulau Pinang Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata siasatan pihaknya mendapati premis itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29A(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan beberapa ketidakpatuhan pengurusan buangan terjadual mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Beliau berkata siasatan juga mendapati kebakaran itu bermula sejak 12 tengah hari semalam namun ia hanya dimaklumkan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang pada 3.53 petang setelah keadaan tidak dapat dikawal.

“JAS Pulau Pinang telah menerima maklumat kebakaran tersebut daripada JBPM dan difahamkan kebakaran seperti itu telah kerap berlaku, kami telah ke lapangan bagi tujuan siasatan ke atas premis.

“Kami turut menjalankan kerja-kerja pengawasan kualiti udara dan penerbangan dron haba bagi tujuan pengesanan dan pemetaan titik panas untuk membantu usaha pemadaman oleh pihak bomba,“ menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Zakiah berkata pembakaran terbuka itu kini terkawal dan kerja-kerja pemadaman serta pencegahan kemerebakan seperti membuat penghalang api masih dijalankan oleh JBPM Pulau Pinang.

Beliau berkata berdasarkan laporan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Malaysia bagi stesen pemantauan Indeks Kualiti Udara Seberang Perai menunjukkan IPU meningkat sehingga 95 namun telah beransur turun kepada 85 pada 6 petang susulan usaha pemadaman.

“Indikatur sederhana IPU ialah antara 51 hingga100, dalam keadaan IPU berada pada tahap sederhana ketika ini, semua pihak diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja kerana ia boleh menjejaskan kualiti udara dan kesihatan manusia,“ katanya.

Sharifah Zakiah juga berkata kemas kini setakat semalam bagi pemberitahuan hari tanpa hujan selama atau melebihi tujuh hari berturut-turut daripada Sistem Penilaian Bahaya Kebakaran Jabatan Meteorologi Malaysia juga menunjukkan Pulau Pinang tidak menerima hujan selama sembilan hari yang direkodkan oleh Stesen Meteorologi Tentera Udara Diraja Malaysia Butterworth.

“Kebakaran yang berlaku di premis itu telah sedikit sebanyak menyumbang kepada penurunan kualiti udara sekitar Nibong Tebal,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image