JOHOR BAHRU: Seorang pemilik stesen minyak didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membenarkan pengisian petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing di Jalan Tun Abdul Razak, Susur 4, dekat sini, empat tahun lalu.

Phan Chib Chan (gambar), 59, membuat pengakuan itu dalam kes pendakwaan pertama di Malaysia membabitkan kesalahan tersebut dan mahkamah juga menetapkan penjara selama lima bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, Phan didakwa telah gagal mematuhi arahan pengawal yang menyatakan bahawa kenderaan bernombor pendaftaran asing tidak dibenarkan membuat pengisian petrol RON95.

Phan didakwa membenarkan pengisian petrol bersubsidi RON95 bagi kereta BMW bernombor pendaftaran asing sebanyak 54 liter bernilai RM114.30.

Bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 10.40 pagi, 13 Mei 2019 di premis Heng Motor Service Station di Jalan Tun Abdul Razak, Susur 4, daerah Johor Bahru

Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff.

Terdahulu, Raja Nor Iklas memberitahu Phan, iaitu orang kena saman (OKS) telah melakukan kesalahan sama sebanyak dua kali sebelum ini dan memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada OKS dan semua pemilik stesen minyak di negara ini agar tidak menyeleweng subsidi yang diberikan kerajaan.

Peguam, Lim Chon Sin memohon hukuman serendah-rendahnya dikenakan dengan mengambil kira faktor kesihatan Phan yang mengalami sakit jantung serta memerlukan rawatan berterusan selain tiada rekod jenayah lampau serta telah memberi kerjasama baik kepada KPDN. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image