IPOH: Seorang pemilik syarikat agensi pekerjaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 48 pertuduhan pecah amanah melibatkan wang bantuan Elaun Persediaan Kerja (EPK) berjumlah RM30,000.

Fauziah Mustafa (gambar), 47, dituduh gagal menyerahkan wang EPK daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM30,000 kepada para pekerja yang telah diambil bekerja melalui syarikat FMZ Worldwide Ventures miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Klebang di sini antara Januari 2021 hingga Mei tahun lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa Mohd Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Maziyah menawarkan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan namun Fauziah memohon jaminan rendah atas alasan menanggung bapanya dan seorang anak perempuan yang masih belajar manakala suaminya menghidap strok ringan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 2 Mac ini untuk sebutan semula kes. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image