SIBU: Seorang pempengaruh media sosial berusia 28 tahun mengalami kerugian RM16,799 selepas terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian menggunakan aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata wanita itu mendakwa semasa melayari laman Facebook baru-baru ini, beliau terlihat iklan kerja sebagai ‘Live Host’ yang menjanjikan komisen RM1,000 sekiranya melaksanakan kerja itu, minimum 30 jam seminggu.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya menghubungi seorang pengguna akaun Facebook berhubung tawaran kerja berkenaan, sebelum diminta mendaftar maklumat peribadi serta dikenakan caj RM1 sebagai yuran pendaftaran dalam satu aplikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu kemudiannya menerima notifikasi bank yang memaklumkan bahawa ada transaski pemindahan wang dari akaunnya, dan selepas merasakan ditipu, wanita itu kemudiannya terus membuat laporan polis.

Zulkipli seterusnya menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran di media sosial yang menawarkan pulangan lumayan, sebaliknya mereka perlu membuat semakan terlebih dahulu.

Semakan boleh dibuat melalui balai polis yang berdekatan atau http://semakmule.rmp.gov.my, CCID Infoline di 013-2111222, CCID Response Centre di 03-26101559/03-26101599, atau melalui Facebook di https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image