KUALA LUMPUR: Kesalahan jenayah membabitkan hidupan liar akan dikenakan penalti lebih tinggi menerusi penguatkuasaan 44 seksyen di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) bermula hari ini.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam kenyataan memaklumkan penguatkuasaan Akta A1646 itu antaranya meliputi kesalahan seperti menyimpan, memburu dan menyeludup hidupan liar.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan akta berkenaan kesalahan di bawah seksyen 71 melibatkan mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas atau penyeludupan, memperuntukkan denda hingga RM1 juta dan penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun.

“Peningkatan penalti bagi kesalahan menyeludup hidupan liar adalah perlu kerana ia merupakan jenayah serius menyebabkan hidupan liar iaitu sumber khazanah negara yang tidak ternilai akan terancam akibat aktiviti haram ini.

“Jenayah ini juga dikategorikan sebagai jenayah terancang berskala besar merentasi sempadan negara dan ia jenayah yang serius dan perlu dihentikan,” menurut kenyataan itu.

Pindaan Akta A1646 diluluskan di Parlimen pada 2021 dan diwartakan pada 10 Feb 2022.

Perhilitan turut memaklumkan peningkatan kadar penalti dan tempoh pemenjaraan itu bersifat mencegah bertujuan bagi memastikan kelangsungan spesies hidupan liar bagi generasi akan datang.

“Seiring dengan penguatkuasaan pindaan Akta 716 ini, Jabatan Perhilitan bertekad meneruskan operasi penguatkuasaan secara bersepadu iaitu Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) di seluruh Semenanjung.

“Jabatan Perhilitan berharap agar Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) yang ditubuhkan pada 2022 di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membantu aktiviti penguatkuasaan Akta A1646 ini,” menurut kenyataan itu.

Perhilitan turut menyeru orang ramai untuk mengambil maklum mengenai penguatkuasaan akta berkenaan dan bekerjasama menyalurkan maklumat sebarang aktiviti jenayah hidupan liar kepada jabatan itu.

Sebarang aduan dan maklumat berhubung gangguan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan menerusi laman web www.wildlife.gov.my. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image