ALOR SETAR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa segera menyelesaikan beberapa masalah berkaitan penyelenggaraan di Flat Simpang Kuala, di sini, yang menimbulkan kebimbangan berkaitan keselamatan dan rasa tidak selesa penduduk.

Seorang penduduk, Khor Sok Eng, 79, berkata bumbung bangunan berusia 30 tahun itu yang sudah rosak menyebabkan kediaman penghuni dimasuki air sewaktu hujan selain angin kencang dibimbangi boleh menyebabkan bumbung jatuh.

“Angin kencang sebelum ini telah menyebabkan bumbung mengalami kerosakan dan apabila hujan lebat, air akan masuk dan menyebabkan lantai rumah basah. Keadaan ini boleh mendatangkan bahaya dan menyebabkan warga emas terjatuh akibat lantai yang licin.

“Saya pernah membuat aduan kepada pihak PBT dan kerajaan negeri, mereka ada datang melihat tetapi selepas itu tiada tindakan susulan yang dibuat dan masalah itu berlarutan sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di Flat Simpang Kuala di sini hari ini.

Beliau yang tinggal di tingkat lima sejak 20 tahun lepas berkata keadaan longkang yang tersumbat akibat longgokan sampah juga telah menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik terutama ketika hujan lebat.

“Air tidak boleh mengalir dengan baik sehingga menyebabkan air bertakung di bahagian tangga. Selain itu, penduduk terpaksa membersihkan sendiri kawasan persekitaran kerana bimbang menjadi sarang serangga dan binatang seperti tikus dan ular,” katanya.

Rosnani Abu Bakar, 59, yang menetap lebih 20 tahun di situ pula berkata dia buntu apabila saluran paip di dalam tandas rumahnya kerap pecah sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada seluruh ahli keluarganya.

“Kami sudah baiki saluran paip itu banyak kali, tampal simen, cat semula tetapi paip berkenaan masih pecah. Apabila kami buat aduan tiada maklum balas daripada pihak berkaitan, jadi semua kerja penyelenggaraan terpaksa dibuat sendiri.

“Selain itu, kami perlu berjalan jauh untuk membuang sampah kerana tong sampah yang disediakan di sini kecil dan tidak cukup bagi jumlah penghuni yang ramai. Kalau hendak buang sampah besar atau banyak kena pergi ke tong sampah yang lebih besar yang terletak di hadapan blok flat yang lain,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image