Peranan YUJ bantu masyarakat bertepatan dengan Konsep Keluarga Malaysia

PUTRAJAYA: Peranan Yayasan Undang Johol (YUJ) dalam menggalas tanggungjawab membantu golongan yang memerlukan amat bertepatan dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menitikberatkan amalan bersatu padu dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata usaha YUJ yang menjalankan pelbagai bantuan kebajikan amat relevan dalam setiap situasi kecemasan seperti banjir dan bencana lain.

“Langkah yang diambil oleh pihak Yayasan Undang Johol sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan adalah sangat bertepatan dengan konsep kebajikan tanggungjawab bersama dan konsep bergotong-royong dengan setiap anggota dalam masyarakat terlibat menggalas tanggungjawab untuk menyumbang kepada kebajikan umum, khususnya dalam keadaan mendesak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal YUJ 2022 di sini malam ini, yang turut dihadiri Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Majlis makan malam amal itu diadakan bagi tujuan mengumpul dana untuk membiayai program kerja kebajikan kepada gologan sasar dan juga sebagai persediaan bagi menghadapi keadaan kecemasan seperti berlakunya bencana alam, khususnya banjir kilat seperti yang telah berlaku baru-baru ini.

Wan Junaidi berkata kerajaan akan terus memberikan tumpuan kepada program dan inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan.

Objektif utama penubuhan YUJ adalah untuk membantu masyarakat di Luak Johol khususnya dan warga Malaysia amnya termasuk bantuan pendidikan dan bantuan ibu tunggal.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image