Your Title

Permulaan baik: Suresh, Nurfaizal perbaiki rekod peribadi

SOLO (Indonesia): Permulaan baik bagi skuad memanah negara di Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di sini, apabila dua atlet recurve lelaki memperbaiki pencapaian terbaik peribadi masing-masing pada pusingan kelayakan hari ini.

S. Suresh(gambar) beraksi cemerlang untuk menggungguli pusingan kelayakan di Stadium Kota Barat dengan mencatatkan 635 mata, peningkatan satu mata berbanding rekod terdahulunya ketika menjuarai Kejohanan Dunia 2019 di Belanda.

Ia sekali gus membantunya mengatasi pencabar utamanya dan juara Kejohanan Memanah Para Asia Phuket 2022, Hanreuchai Netsiri dari Thailand, yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan 624 mata, diikuti wakil tuan rumah Kholidin (619).

Seorang lagi pemanah Malaysia Nurfaizal Hamzah, yang beraksi buat kali pertama di pentas antarabangsa mengutip 543 mata, mengatasi rekod peribadinya 526 mata di sirkit kebangsaan, untuk menamatkan saingan di tempat ke-10.

Kejayaan hari ini memastikan Suresh mendapat ‘bye’ untuk pusingan 1/8 esok, dan akan bertemu pemenang pertembungan di antara dua wakil Filipina, Giovanni Ola dan William Cablog pada suku akhir.

“Di sini, saya hanya fokus terhadap diri sendiri dan fikir macam latihan sahaja tanpa memikirkan keputusan pesaing lain. Ya, saya rasa dah kembali mendapat rentak terbaik saya.

“Saya tidak tahu cabaran esok bagaimana, saya tak nak lihat jadual pun. Saya hanya mahu tumpu sepenuh perhatian untuk persiapan diri menghadapi cabaran APG kali ini,” kata pemanah berusia 28 itu.

Nurfaizal, 32, pula bakal berdepan laluan berliku, apabila bertemu pemanah Indonesia Sadikin (565) yang menamatkan saingan di tempat ketujuh, dan sekiranya menang, bakal dicabar oleh Hanreuchai di suku akhir.

“Mula-mula memang saya gementar dan kelam-kabut kerana kali pertama. Tapi Alhamdulillah, saya dapat kejar dengan bantuan para jurulatih...Masih banyak lagi yang saya perlu perbaiki dari segi persiapan diri dan teknik, harap selepas ini akan lebih baik,” katanya yang baru menyertai pasukan kebangsaan sebulan lepas.

Anggota polis yang kini berkhidmat sebagai pembantu tadbir di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu, hilang kedua-dua kakinya akibat dilanggar oleh kereta yang terbabas ketika beliau sedang menunggang motosikal pada 2016.

Dalam pada itu, saingan acara compound pada sebelah petang menyaksikan dua wakil negara - G. Daneshen dan Wiro Julin - mencatatkan pencapaian terbaik musim ini.

Daneshen yang membuat debut APG, berjaya menduduki tempat ketiga selepas mencatatkan 669 mata, berbanding 661 yang dicatatkan pada Sikit Para Kuala Lumpur baru-baru ini, untuk mengatur pertemuan menentang Zaw Min Htwe dari Myanmar pada pusingan 1/8 esok.

Wiro turut memperbaiki pencapaian musim ini kepada lima mata, selepas mencatatkan 652 mata untuk berada di kedudukan ketujuh dalam kalangan 14 peserta dan bakal mencabar Angelo Manangdang dari Filipina bagi memburu tempat ke suku akhir.

Bagi kategori compound wanita, Nur Jannaton Abd Jalil menamatkan saingan di kedudukan kelima dalam kalangan 11 peserta dengan 643 mata, sekali gus menerima ‘bye’ pada pusingan kalah mati esok.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image