KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan dua rakan kongsi mereka berhubung perniagaan restoran yang tidak wujud.

Peniaga Looi Chong Wee, 48, warga Singapura dan isterinya Pon Lye Kwan, 50, didakwa bersama-sama memperdayakan Lee Joon Hin, 40, dan Azlina Ahmad, 45, dengan menawarkan perniagaan restoran itu sehingga mendorong kedua-dua mangsa memindahkan wang berjumlah RM873,000 ke dalam dua akaun bank milik suami isteri itu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kompleks beli-belah di Brickfields di sini antara 2018 dan 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM200,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Ryan Vong Junying yang mewakili pasangan terbabit memohon jaminan dikurangkan atas alasan mereka menanggung keluarga.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.-Bernama