SERDANG: “Adik, ilmu ada di mana-mana. Jangan sesekali penat dan bosan mencari ilmu,” itu antara pesanan terakhir insan tercinta bergelar bapa kepada Dr Norhidayu Hasan (gambar) yang tidak dapat menyaksikan anak bongsunya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 (Sidang Dua) hari ini.

Pernah mahu berputus asa dan melalui episod depresi sehingga susut berat badan, anak kelahiran Jerantut, Pahang itu cekal dan bangkit semula bagi merealisasikan hasrat ayahnya yang meninggal dunia akibat kegagalan jantung ketika baru tahun pertama mengikuti pengajiannya dalam bidang Bahasa dan Linguistik Melayu pada 2019.

“Kehilangan ayah secara tiba-tiba macam bawa ‘kerosakan’ kepada diri sendiri dan saya macam hilang sayap. Kalau ikutkan saya tak nak sambung PhD dan hampir ‘give-up’.

“(Tapi) selepas upacara pengebumian arwah ayah, saya terus balik ke UPM untuk membentangkan kertas cadangan PhD. Saya juga menyibukkan diri dengan menjual nasi lemak dan menjadi penulis kandungan sambil meneruskan pengajian PhD,” kata anak pemandu lori balak dan pengusaha kantin itu.

Bercakap kepada pemberita selepas tamat upacara konvokesyen itu, Norhidayu, 29, berkata biarpun sedih, beliau tetap berasa bangga atas pencapaiannya dan mendedikasi kejayaan itu kepada arwah ayah dan keluarganya.

Terdahulu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pro-Canselor UPM berkenan mengurniakan ijazah kepada 836 graduan pada istiadat konvokesyen itu, antaranya graduan Sarjana Sains Veterinar dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian.

Sementara itu, seorang lagi penerima PhD Dr Widad Roslan, 28, menjadikan ibunya iaitu Prof Dr Normaliza Abd Rahim sebagai sumber inspirasi bagi melanjutkan pengajiannya ke peringkat tertinggi.

Ibu tiga anak itu berkata selain dorongan emak beliau, suaminya juga menjadi tulang belakang bagi kejayaannya termasuk membantu dari segi pengurusan rumah tangga.

“Banyak kali rasa nak ‘give up’. Lagi-lagi masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) anak ketiga masih bayi dan dua anak yang lain mengikut kelas dalam talian.

“Pada masa sama, saya bertugas sebagai pensyarah dan malam pula siapkan tugasan PhD sebab itu sahaja masa yang saya ada. Suami saya banyak membantu dan memahami,“ katanya yang menamatkan pengajian PhD pada usia 27 tahun.

Nur Widad yang berasal dari Kajang, Selangor kini berkhidmat sebagai seorang pensyarah di Infrastructure University Kuala Lumpur, pada masa sama menyandang jawatan Ketua Penjenamaan dan Komunikasi di universiti sama.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image