KUALA TERENGGANU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok tidak bercukai bernilai lebih RM1.071 juta, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tapai di Marang, semalam.

Komander PGA Briged Tenggara SAC Datuk Hasan Basri Ahmad Safar berkata dalam Op Kontraban pada 3 petang semalam, pasukannya menahan lelaki tempatan itu ketika sedang memunggah beberapa kotak besar dalam bonet dan tempat duduk belakang sebuah kereta, di perkarangan rumah itu.

Katanya pemeriksaan lanjut dalam kotak-kotak itu menemukan 7,146 karton pelbagai jenis rokok (lebih 1.429 juta batang) dengan anggaran nilai harga rokok sebanyak RM114,336, manakala nilai cukai RM957,564.

“Suspek ditahan berumur 27 tahun dan tiada rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata turut dirampas ialah sebuah kereta serta telefon bimbit dan nilai keseluruhan rampasan termasuk rokok ialah lebih RM1.092 juta

Menurut Hasan Basri, sepanjang Januari hingga Mei tahun ini Briged Tenggara PGA telah berjaya menghasilkan empat kes tangkapan dan rampasan kontraban di bawah Akta Kastam 1967.

“Briged ini akan memperhebatkan operasi membanteras sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai dan lain-lain barangan menerusi Op Kontraban terutamanya di seluruh negeri Pantai Timur.

“Kegiatan ini perlu dibendung sepenuhnya, kerana menyebabkan kerugian cukai yang tinggi kepada negara,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sangat mengalu-alukan kerjasama serta bantuan masyarakat, terutama dalam penyaluran maklumat dalam konteks membanteras kegiatan tersebut.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image