KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) berjaya melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada aksi pusingan kedua kalah mati saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam ini.

Kemenangan di laman sendiri itu dihasilkan oleh jaringan tunggal pemain tengah Mohd Faiz Mohd Mansor pada babak pertama perlawanan.

Skuad kendalian Mohd Nafuzi Mahammad Zain itu menguasai permainan dengan melancarkan gerakan dan seawal minit keenam gol terhasil menerusi Mohd Faiz yang menanduk masuk hantaran silang oleh Mohamad Faisal Abdul Halim.

Pada minit ke-51, TFC bermain dengan 10 orang apabila pemain pertahanannya Pape Abdoulaye Diakite dilayangkan kad merah kerana menarik Wanja Ronald Ngah yang mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol.

Bagaimanapun sepakan percuma yang diberikan kepada KDA FC susulan insiden itu gagal disempurnakan oleh pemain tengahnya Mahmoud Nayef Ahmad Almardi.

Kedudukan kekal 1-0 sehingga wisel penamat ditiupkan.-Bernama