KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia sekali lagi menggesa supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dipinda dengan semakan ke atas peruntukan terhadap perwakilan dalam pihak berkepentingan dilakukan oleh pengamal undang-undang dan Peguam Negara serta individu terkemuka di bawah Seksyen 5 Akta JCA dipilih berpandukan satu set kriteria sesuai untuk rakyat Malaysia, demi kebaikan badan kehakiman dan negara ini.

Ia juga menegaskan bahawa kuasa perdana menteri dalam pemilihan kehakiman dan proses pelantikan di bawah Akta JAC dimansuhkan bagi memastikan kebebasan suruhanjaya itu menjalankan urusannya sendiri dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai isu penting mungkin boleh melibatkan diri untuk memainkan peranan semak dan imbang. .

“Perubahan ini perlu bagi mendukung kebebasan badan kehakiman.

Amat penting, bagi kerajaan semasa yang bertegas untuk tadbir urus yang baik, meneruskannya dengan iltizam politik untuk melakukan pindaan diperlukan kepada Akta JAC dan Artikel 122B Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan sebuah badan kehakiman yang bebas untuk sebuah sistem demokrasi yang wajar dalam negara kita,” kata Presidennya Karen Cheah Yee Lynn dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Badan Peguam Malaysia sedia membantu sepanjang masa dalam merealisasikan inisiatif ini.

Cheah berkata badan itu juga memuji cadangan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 semalam di Istana Negara supaya lima daripada sembilan ahli JAC itu tidak dilantik oleh perdana menteri agar keanggotaannya lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.

Beliau berkata bahkan sejak 2018 Badan Peguam Malaysia telah menghantar kertas kerja lengkap kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) yang ditubuhkan kerajaan sebelum ini untuk mencadangkan idea bagi mengukuhkan institusi demokrasi dalam negara ini, termasuk Akta JAC.

“Inisiatif ini mempunyai sejarahnya malah sebelum 2018 lagi, kerana Badan Peguam Malaysia prihatin berkaitan pelantikan hakim-hakim yang seharusnya bebas daripada pengaruh Eksekutif dan tujuan dasar di belakang penubuhan JAC ialah untuk mengekalkan kebebasan antara Badan Perundangan, Badan Kehakiman dan Eksekutif untuk memastikan ketelusan di semua peringkat.

Badan Peguam Malaysia secara berterusan mencadangkan supaya keseluruhan barisan keahlian JAC seharusnya memaparkan kepelbagaian serta inklusif dan mencerminkan demografi populasi umum dalam setiap aspek,” katanya.

Beliau berkata barisan keahlian JAC mencerminkan masyarakat Malaysia, ia akan meningkatkan keyakinan orang awam dan penerimaan keputusan yang dibuat badan kehakiman kerana hakim-hakim ini akan mewakili dan membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia.

Beliau seterusnya menekankan Badan Peguam Malaysia secara konsisten menggesa desentralisasi kuasa Eksekutif dalam aspek penting proses pelantikan kehakiman.

“Satu contoh kuasa Eksekutif dalam pelantikan itu seperti dalam Seksyen 5 Akta JAC yang menyatakan lima daripada sembailan ahli JAC - iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan dan empat individu terkemuka dilantik oleh Perdana Menteri.

Pelantikan individu terkemuka membuka kebarangkalian bekas anggota Eksekutif dan perkhidmatan awam, Ahli Parlimen dan ahli politik boleh duduk di dalam JAC dan Badan Peguam Malaysia menegaskan bahawa kebarangkalian itu seharusnya ditiadakan,“ katanya.

Cheah selanjutnya berkata sementara proses konsultasi (pelantikan kehakiman) dijalankan seperti termaktub di bawah Seksyen 5(f) Akta JAC, pandangan bertulis dan yang dinyatakankan atau bantahan Badan Peguam Malaysia mengenai kesesuaian calon tidak pernah diterjemahkan menjadi realiti.

“Oleh itu, gesaan supaya pembaharuan dilakukan dalam JAC adalah tepat pada waktunya,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image