KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan pindaan Enakmen Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 (2020) untuk melanjutkan tempoh pengecualian kepada pemaju dan pembeli rumah di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata lanjutan tempoh itu melibatkan caj pembayaran lewat, penyerahan milikan kosong rumah serta ganti rugi jumlah tertentu dan tempoh liabiliti kecacatan.

Beliau berkata pihak pemaju menyatakan tempoh pengecualian daripada 18 Mac 2020 sehingga 31 Dis 2020, dan kemudian 1 Jan 2021 sehingga 31 Mac 2021 diberikan di dalam enakmen tersebut tidak mencukupi.

“Oleh itu, kementerian ini berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk melanjutkan tempoh pengecualian kepada pemaju dan pembeli rumah yang diberikan di dalam Enakmen tersebut daripada 1 April 2021 sehingga 31 Mac 2022,” katanya ketika membentangkan usul meminda enakmen itu di sini hari ini.

Masidi berkata Perintah Kawalan Pergerakan dan prosedur operasi standard mencegah Covid-19 yang ketat menyebabkan pemaju atau kontraktor tidak dibenarkan bekerja di tapak pembinaan, sehingga sukar menyiapkan dan menyerahkan rumah kepada pembeli dalam tempoh termaktub dalam Perjanjian Jual Beli.

“Peraturan dan prosedur operasi standard seperti sekatan lintasan daerah, had peratusan bilangan pekerja di tapak bina dan prosedur penutupan tapak binaan bagi sebarang kes positif covid telah mempengaruhi tempoh penyiapan dan penyerahan unit rumah kepada pembeli-pembeli rumah.

“Kelewatan penyiapan projek perumahan ini akan menyebabkan pembeli rumah menuntut ganti rugi jumlah tertentu atau Liquidated Damages,” katanya.

Masidi berkata walaupun negara melalui beberapa siri fasa Pelan Pemulihan Negara bermula Julai 2021, ia masih memberikan kesan dari segi bekalan bahan-bahan binaan, kekurangan tenaga kerja dan terdapat juga pemaju turut mengalami kerugian akibat kenaikan harga bahan binaan dan tambahan kos tinggi.

Usul itu diluluskan dengan suara terbanyak.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image