PJKM catat jualan lebih RM54 juta: Rosol

KUALA BERANG: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) merekodkan jualan sebanyak RM54.55 juta sejak dilancarkan pada 2 Disember tahun lepas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid(gambar).

Beliau berkata transaksi jual beli itu adalah hasil penganjuran PJKM di 1,702 lokasi di seluruh negara yang direkodkan setakat semalam.

“Hampir 2.8 juta pengunjung telah hadir membeli barangan keperluan di PJKM sepanjang tempoh itu membuktikan program ini berjaya mencapai matlamatnya untuk membantu meringankan beban kos sara hidup terutama buat golongan berpendapatan rendah (B40) di negara ini,“ katanya selepas meninjau PJKM di sini, hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 240 rakan strategik telah mengambil bahagian melaksanakan program PJKM di seluruh negara yang menawarkan harga keperluan asas lebih rendah hingga 30 peratus berbanding harga biasa.

Antara barang yang dijual ialah beras, telur, ayam, ikan, sayur-sayuran, beras, tepung, susu dan minyak masak melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sektor peruncitan.

Tambahnya, walaupun PJKM akan tamat pada Jun ini, keluhan rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga barang akan tetap mendapat pembelaan kerajaan melalui penubuhan Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) dan Jawatankuasa Keselamatan Makanan.

“KPDNHEP bekerjasama erat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) agar harga barangan keperluan mampu dibeli rakyat dengan harga berpatutan,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image